2 RAMD


SEJARAH PENUBUHAN

Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu DiRaja telah ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Dis 1941 di Port Dickson dengan kekuatan seramai 453 orang di bawah pemerintahan Lt Kol F.W Young. Penubuhan batalion ini dilakukan apabila keadaan perhubungan di antara negara-negara di Eropah semakin bergolak di mana satu ketumbukan tentera dikerahkan di Tanah Melayu iaitu dari 12th Indian Infantry Brigade yang tiba pada bulan Ogos 1939. Kedatangan mereka disambut baik, tetapi kerajaan British di Tanah Melayu mendesak pemimpin mereka untuk mengembangkan lagi Rejimen Askar Melayu Diraja, memandangkan tentera dari golongan anak watan mempunyai semangat juang yang tinggi bagi mempertahankan Tanah Melayu berbanding dengan tentera-tentera Commonwealth.


Desakan yang dibuat tidak diendahkan sehinggalah tercetusnya peperangan di Eropah pada bulan Sep 1939, di mana pada waktu itu Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja baru berusia 4 tahun. Setelah kekuatan Rejimen Askar Melayu Diraja bertambah, program latihan telah dirombak agar ianya bersesuaian dengan objektif penubuhannya. Anggota-anggotanya dihantar untuk menghadiri pelbagai kursus yang dirancang oleh Headquarters Malaya Command. Satu Carrier Platoon telah ditubuhkan pada awal bulan Ogos 1941 di bawah pemerintahan Kapt R.R.C Carter dan memulakan latihannya di bawah 2nd Royal Regiment.


Hasil dari pelaksanaan tugas memuaskan yang telah ditunjukkan oleh Rejimen Askar Melayu Diraja, maka satu kompeni baru telah ditubuhkan iaitu dikenali sebagai ‘W’ Kompeni di bawah pemerintahan Kapt W. Richardson. Kompeni ini telah dihantar ke Kampung Pergau, Kelantan pada Ogos 1941 seterusnya bergelar A Kompeni kepada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja. Daripada pengkalan ini, wujudlah satu kem tentera di Sungai Pergau. Penubuhan Batalion Sungai Pergau telah dijadikan satu tempat untuk mengintip kawasan sempadan Thailand bagi tujuan untuk mengelakkan penyusupan tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu dari Negara Thailand. Pada waktu yang sama, di atas gesaan rakyat Tanah Melayu, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu telah mengumumkan keputusan untuk membesarkan Rejimen Askar Melayu Diraja kepada dua Batalion.


Keputusan ini telah dicapai dimana nukleus dari Batalion Pertama ini telah ditukarkan ke Batalion Kedua. Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja ditubuhkan dibawah kuasa penubuhan daripada Pesuruh Jaya Tinggi British di Malaya iaitu Sir Gerald Templer. Genap seminggu sahaja batalion ini ditubuhkan, Tanah Melayu diserang oleh Tentera Jepun.


LAMBANG DAN COGANKATA


Lencana pengenalan yang menjadi identiti pasukan ini merupakan lambang harimau berjuang yang berlatarbelakangkan kain bewarna hijau yang diambil daripada salah satu warna yang terdapat di dalam salah satu diantara warna bendera Rejimen Askar Melayu DiRaja, dimana warna tersebut merupakan simbolik kepada Islam bersesuaian dengan keanggotaannya yang terdiri daripada penganut beragama Islam. Manakala gelaran dan cogankatanya seperti di bawah.


SENTIASA TUNJUK BELANG



Harimau Malaya

Gelaran ini telah diisytiharkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British Di Tanah Melayu iaitu Sir Gerald Templer. Gelaran ini telah diberikan di atas kejayaan pasukan ini sepanjang darurat yang telah membunuh 185 orang PGK dan menawan 29 orang PGK serta seramai 59 yang lain telah menyerah diri pada tahun 1952.



Sentiasa Tunjuk Belang

Cogankata ini di gunakan hasil daripada kesinambungan di atas kejayaan membenteras PGK serta keberanian yang telah di tunjukkan sepanjang pelaksanaan tugas operasi yang di jalankan.

PANJI-PANJI

Batalion ini telah dianugerahkan Panji-Panji Rejimen yang pertama pada 13 Sep 1949 di Port Dickson yang telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi British Di Tanah Melayu iaitu Sir Gerald Templer bagi pihak Baginda Queen Elizabeth. Panji-Panji kedua pada 13 Nov 1976. Pengurniaan Panji-Panji kedua ini telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah iaitu Sultan Kedah selaku Kolonel Yang DiPertua kor RAMD di Kem Terendak. Panji-Panji ini adalah untuk mendapatkan penghormatan perang (Battle of Honours) terdiri daripada Pulau Singapura, Tanah Melayu 1941 hingga 1942 dan Darurat pada 1948 hingga 1960. Manakala pengurniaan Panji-Panji yang ketiga juga telah di sempurnakan oleh Baginda pada 24 Nov 1998 iaitu di Kem Sungai Ara. Tiga penambahan penghormatan perang yang telah di tambah pada Panji-panji ini ialah Congo 1960 hingga 1963, Konfrontasi 1963 hingga 1965 dan juga Bosnia 1997 hingga 1998.

WARNA PASUKAN

Warna pasukan merupakan warna hijau gelap yang diambil daripada salah satu warna yang terdapat pada bendera Rejimen Askar Melayu DiRaja yang menunjukkan sebagai simbolik kepada agama Islam.

MASKOT PASUKAN

Harimau yang merupakan sebagai pahlawan hutan yang sentiasa menunjukkan keberanian dan kegagahan sebilang masa dan harimau juga sering sahaja dijadikan pengawal oleh pendekar – pendekar Melayu zaman silam.


PEGAWAI MEMERINTAH

Sejak daripada awal penubuhan hinggalah ke hari ini, pasukan ini telah dipimpin oleh 31 orang Pegawai Memerintah yang lebih sinonim dengan gelaran Gembala Harimau Malaya. Kesemua Pegawai Memerintah yang menerajui kepimpinan pasukan ini telah menunjukkan kejayaan yang cemerlang dan sentiasa mengekalkan tradisi serta adat pasukan ini sehingga ke hari ini sebagai salah satu daripada pasukan yang tertua. Diantara barisan kepimpinan yang terawal di pimpin oleh Leftenan Kolonel F.W Young MBE iaitu bermula pada 1 Oktober 1941 sehingga 15 Feb 1942.
Sementara itu diantara kepimpinan yang telah menerajui pasukan ini yang telah berjaya di dalam perkhidmatan dan bersara sebagai tampuk pemerintahan tertinggi Tentera Darat ialah Leftenan Kolonel Tengku Md Osman bin Tengku Md Jewa merupakan Panglima Tentera Darat Ketiga iaitu Pegawai Memerintah yang ketujuh bermula pada 19 Julai 1958 hingga 15 Okt 1959, Leftenan Kolonel Mohd Sany bin Abdul Ghafar sebagai Panglima Tentera Darat yang keenam iaitu Pegawai Memerintah pasukan ini yang kesembilan bermula pada 15 Jan 1961 hingga 17 Jun 1961 dan Leftenan Kolonel Mohd Sharom bin Hj Nordin. Beliau merupakan mantan Pegawai Memerintah pasukan ini yang telah bersara sebagai Panglima Tentera Darat yang ke 19.

Di antara mantan Pegawai Memerintah lain pasukan ini yang telah bersara sebagai Panglima Divisyen ialah Leftenan Kolonel Mohd Raih bin Hj Ismail iaitu mantan Pegawai Memerintah bermula 14 Feb 1989 hingga 5 Jul 1991 yang merupakan mantan Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia. Walau bagaimanapun pada hari ini tampuk pemerintahan Divisyen Ketiga Infantri Malaysia yang dipimpin oleh Mejar Jeneral Dato’ Ahmad Hasbullah bin Mohd Nawi juga merupakan salah seorang daripada mantan Pegawai Memerintah Harimau Malaya pada 26 Feb 1995 hingga 7 Sep 1996. Manakala Gembala Harimau Malaya pada hari ini ialah Leftenan Kolonel Abdul Aziz bin Ismail yang merupakan Pegawai Memerintah pasukan ini yang ke 31 bermula pada 8 Jan 2007 hingga sekarang.



PEGAWAI MEMERINTAH 2 RAMD (1941-2008)


RAGAAN BATALION


DARURAT 1

Ragaan Utama Batalion Kedua RAMD dikenali sebagai ‘Darurat Satu’. Ia merupakan sebuah tugu peringatan yang terdapat sebilah keris perak di atasnya. Tugu tersebut tercatat nama-nama pahlawan batalion ini yang telah gugur dalam pertempuran semasa Darurat Pertama. Setiap penjurunya dikawal oleh seekor replika harimau perak yang merupakan pahlawan hutan yang sentiasa menjadi lambang keberanian dan kegagahan dan keris melambangkan kepahlawanan bangsa Melayu dan kebesaran Raja-Raja Melayu. Ragaan ini telah dicipta oleh pegawai-pegawai dan anggota yang telah berkhidmat di pasukan ini pada tahun 1960 yang bernilai 1785 pound sterling berukuran 60 cm panjang, 47 cm lebar ,21 cm tinggi dan seberat 20 kg. Ragaan ini telah dibiayai oleh pegawai serta anggota pasukan ini pada masa tersebut dan juga Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

PENEMPATAN PASUKAN

Pasukan ini juga pernah di tempatkan di beberapa penempatan di Port Dickson/Singapura (1941–1947), Kuala Lumpur (1948–1950), Kuala Lipis, Pahang (1950–1952), Taiping, Perak (1952–1960), Kelantan (1960–1962), Conggo (1962–1963), Tawau, Sabah (1963–1964), Kelantan (1964–1966), Semanggang, Sarawak (1966 – 967), Port Dickson, Negeri Sembilan (1967–1968), Tawau, Sabah (1968–1971), Terendak, Melaka (1971–1972), Lundu, Sarawak (1972–1974), Terendak, Melaka (1974–1976), Lok Kawi, Sabah (1976–1979), Mentakab, Pahang (1979–1988), Sri Aman, Sarawak (1988–1991) dan sekarang di Sungai Ara, Pulau Pinang semenjak dari tahun 1991

SUMBANGAN

Memandangkan penubuhan pasukan ini adalah di antara penubuhan yang terawal dan menjadi salah satu pasukan yang tertua maka sama ada secara langsung atau tidak langsung keanggotaannya telah banyak memberikan sumbangan yang tidak ternilai dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dari anasir dan petualang negara. Ini dapat dibuktikan bukan sahaja dengan beberapa siri operasi yang telah dilaksanakan di tanah air ini malahan juga beberapa misi yang telah dijayakan di bawah naungan Penubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di antara siri operasi yang telah dilaksanakan seperti di kawasan Kuala Lipis Pahang sekitar tahun 1948–1950 yang telah berjaya membunuh 110 orang PGK dan mencederakan seramai 39 orang yang lain. Manakala pada tahun 1955-1956 sewaktu melaksanakan Operasi Shark iaitu di kawasan Chemor, Perak telah membunuh 2 orang PGK. Di antara operasi dan kejayaan lain adalah seperti Operasi Parchement di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1956-1957 telah membunuh 2 orang PGK dan Sjn Salleh telah dikurniakan Pingat Military Cross (MC), Operasi Chieftain pada tahun Mac hingga Disember 1957 di Perak telah memusnahkan 23 ladang tanaman PGK dan seorang Ahli Jawatankuasa Negeri (SCM) ditawan manakala 99 orang PGK yang lain menyerah diri, Operasi Bintang di Batu Gajah, Perak pada tahun 1958-1960 telah membunuh 33 PGK,

Operasi Bersama TNBI – AD di Lundu, Sarawak pada April hingga Jun 1980 berkekuatan satu kompeni telah berjaya membunuh seorang PGK, Operasi Indera XII (Purple Bravo) di kawasan Klau, Cheroh dan Kuala Lipis pada 16 Jul hingga 16 Sep 1980 telah membunuh seorang PGK, Operasi Indera Khas di Padang Tengku, Kuala Lipis Pahang pada Ogos 1980 dan kawasan Barat Bentong sempadan Negeri Sembilan pada 3 Nov hingga 31 Dis 1980, Operasi Lukah Rajah I di Hutan Simpan Kerau, Kompleks Gunung Benom pada 12-30 Apr 1981 berkekuatan satu kompeni telah menjumpai 8 buah pondok PGK iaitu tempat persembunyian CCM Chong Chor, Operasi Lukah Rajah II pada tahun 1981.

Operasi Indera Berjaya membunuh 3 PGK pada tahun 1981, Operasi Campur di Karak, Bentong dan Kerdau pada tahun 1982, Operasi Indera 3/88 di Bukit Fraser, Sungai Ruan, Klau dan Cheroh, Pahang pada tahun 1983, Operasi Indera Khas di Hutan Simpan Lintang, Pahang pada 23 Ogos hingga 30 Jul 1983 menjumpai kem besar PGK, Operasi Indera 11/83 di Perting dan Chamang, Pahang pada Sep 1983, Operasi Indera 1/84 di bahagian Barat Bentong pada tahun 1984 menjumpai tempat simpanan makanan PGK, di dalam beberapa siri Operasi Indera yang di jalankan ini juga telah berjaya membunuh DCM Wong Chew Nam iaitu ketua unit 15 PKB. Operasi Sabre 3/87 di Karak, Hutan Simpan Lintang, Janda Baik dan Ulu Langat telah menjumpai Kem Elephant yang merupakan Markas 6 Unit Penggempur Keenam di ketuai oleh Chong Chor pada tahun 1987, Operasi Paksi Tuah 2/88 di Kalumpang, Bukit Fraser dan Kuala Kubu pada tahun 1988, beberapa siri Operasi Kota Charlie, Delta dan Operasi Kota Bravo, Charlie Delta, Operasi Pasir Utara 2/2002 di Sandakan dan Kudat, Operasi Merpati, Operasi Cenderawasih, Operasi Kota Echo dan Foxtrot. Pasukan ini juga telah di beri kepercayaan dalam melaksanakan misi di bawah naungan PBB iaitu di Congo pada tahun 1960 hingga 1963 dan juga di Bosnia pada tahun 1997 hingga 1998.


Secara keseluruhannya sehingga ke hari ini, pasukan ini telah melaksanakan lebih daripada 60 kali siri operasi yang di tugaskan dan telah mengorbankan seorang pegawai serta 26 lain-lain pangkat. Dalam keringat dan keberanian serta semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan kedaulatan negara, beberapa penganugerahan pingat keberanian telah diberikan kepada anggota iaitu Kapt Ghazali bin Hj Che Mat (12011), 16633 Sjn Ahmad Rodzi bin Mohd Nor, 470 LKpl M Taib bin Tawal dan 8525 LKpl Hashim bin Jantan anugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB). Manakala Lt Mohd Isa bin Osman (410260), 11092 Sjn Shupaat bin Ramli, 14007 Sjn Abdullah bin Husin, 13785 Sjn Shaik Ismail bin Hj Dollah, 5698 Kpl Jantan bin Kasim, 8440 Kpl Ahmad bin Omar, 11617 Kpl Abdu Hamid bin Mahdan, 27227 Kpl Zamri bin Yusof, 16679 Pbt Hamid bin Saidin pula dikurniakan Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK).

PENUTUP

Perjuangan dan semangat serta keberanian yang telah ditunjukkan oleh para pejuang dan wira yang terdahulu melambangkan betapa cintanya mereka kepada tanahair ini. Pemergian mereka itu bukanlah sebagai satu jalan yang boleh mematahkan semangat terhadap generasi pada hari ini malah ianya merupakan suatu tuntutan yang sepatutnya boleh membangkitkan semangat yang jitu. Walaupun perjuangan masa kini mungkin ada bezanya terhadap persekitaran dalam arus pembangunan, namun selagi berpijak di bumi yang nyata ini maka kedaulatan Negara tercinta ini akan terus di warisi dan dijunjung bukan sahaja pada nama yang terukir indah dan gah serta gerun sebagai Harimau Malaya tetapi akan terus berusaha mengecapi kejayaan seiring dengan cogankatanya Sentiasa Tunjuk Belang.

1 RAMD






Kompeni Percubaan Terdiri Daripada 25 Anak Melayu




Penubuhan Kompeni Percubaan pada 1 Mac 1933 yang terdiri daripada 25 pemuda-pemuda Melayu adalah merupakan perintis kepada penubuhan batalion ini. Secara rasminya Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja telah ditubuhkan pada 1 Jan 1938 di Port Dickson. Sehingga kini seramai 40 orang Pegawai Memerintah telah memerintah batalion ini dan Pegawai Memerintah yang pertama ialah Lt Col G Mc Bruce. Pegawai Memerintah Melayu pertama yang juga Pegawai Memerintah ke-13 ialah Lt Kol Tengku Ahmad Ibni Al Marhum Tunku Besar Burhanuddin (1960-61) manakala Sarjan Mejar Rejimen Melayu pertama ialah PW 1 Ahmad (1953-54).


COGAN KATA

Sebagai sebuah batalion yang tertua dalam Angkatan Tentera Malaysia, batalion ini telah menjadikan tema digeruni dan disegani sebagai cogan kata pasukan. Digeruni oleh lawan dan disegani oleh rakan dan taulan. Perkataan ini melambangkan kecekalan dan semangat juang yang tinggi di kalangan anggotanya. Ia juga mencerminkan kesediaan dan kesanggupan setiap anggota pasukan untuk berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan kedaulatan negara.




WARNA PASUKAN




Warna merah menjadi warna rasmi pasukan. Warna ini melambangkan asas kepada penubuhan Tentera Darat. Ia juga melambangkan keberanian anak-anak Melayu dalam mempertahankan ketaatsetiaan kepada raja dan negara, menegakkan kesucian agama Islam dan mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman musuh.


PANJI-PANJI


Pasukan telah dianugerahkan panji-panji Rejimen Pertama pada 12 Feb 1939 oleh Sir Henry Gurney di Taiping, Perak. Pertukaran panji-panji rejimen yang kedua telah disempurnakan oleh KDYMM Sultan Kedah pada 24 Mac 1984 di Port Dickson manakala pertukaran panji-panji ketiga telah dilaksanakan pada 24 Mei 1995 di Sungai Besi dan pertukaran panji-panji rejimen yang keempat telah dilaksanakan pada 16 Apr 2002 di Kem Sungai Besi.

BARISAN PEMIMPIN

Mulai daripada tarikh penubuhannya sehingga ke hari ini, pasukan ini telah diperintah oleh seramai 40 orang Pegawai Memerintah. Diantaranya ialah Lt Kol Gmc Bruce Mc sebagai Pegawai Memerintah, Lt Kol Abd Jalil bin Hasbullah, Lt Kol Megat Mohd Yusof bin Dato' Haji Megat Mahmud, Lt Kol Allatif bin Mohamed Noor dan Lt Kol Razali bin Hj Ahmad. Kini batalion ini diterajui oleh Lt Kol Ungku Azly bin Ungku Zahar (3004806).



Pegawai Memerintah 1 RAMD (1933-2008)


RAGAAN BATALION


Deers And Two Palm Trees


Ragaan utama 1 RAMD adalah Deers and Two Palm Trees . Ini adalah simbolik dua ekor rusa jantan yang beradu tenaga. Mengambil keadaan tersebut, pasukan ini mentafsirkan bahawa ia melambangkan anggota yang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang. Rusa merupakan sejenis spesis yang besar dalam kumpulan fauna yang menjadi penghuni setia di dalam hutan. Pokok paku pakis gajah pula merupakan flora yang tumbuh di pinggir paya. Walaupun keadaan persekitaran yang kurang selesa, namun ia tetap tumbuh segar dan melindungi setiap fauna dan flora yang berada di bawahnya. Ia melambangkan setiap anggota pasukan ini sanggup berada di mana sahaja bagi melindungi dan mempertahankan rakyat Malaysia dalam apa jua keadaaan.


PENEMPATAN PASUKAN

Dalam usianya selama 69 tahun, pasukan ini telah ditempatkan dibeberapa lokasi atau penempatan sehinggalah pasukan dipindahkan ke Kem Sungai Besi sejak Jan 1986. Kem–kem yang pernah diduduki oleh pasukan ialah Port Dickson, N. Sembilan mulai penubuhan 1 Jan 1938 hingga Dis 1941, Pasir Panjang, Singapura mulai Dis 1941 hingga Feb 1942, Sungai Besi, K. Lumpur mulai Jun 1946 hingga Jul 1947, Taiping, Perak mulai Ogos 1947 hingga Jan 1950, Mentakab, Pahang mulai Jan 1950 hingga Feb 1952, Muar, Johor mulai Mac 1952 hingga Mac 1953, Batu Gajah, Perak mulai Apr 1953 Apr hingga 1955, Kem Kepala Batas mulai Mei 1955 hingga Dis 1960, Kem Sungai Besi, K.Lumpur mulai Jan 1961 hingga Dis 1963, Taiping, Perak mulai Jan 1964 hingga Dis 1966 Sandakan dan Tawau, Sabah mulai Jan 1965 hingga Okt 1965, Kem Sembawang, Singapura mulai Dis 1965 hingga Apr 1966, Kem Semenggo, Kuching mulai Jan 1967 hingga Dis 1968 Kem Bt 5, Mentakab mulai Jan 1969 hingga Okt 1969 Kem Balai Ringin, Sarawak mulai Jan 1970 hingga Dis 1970 Kem Bt 5, Mentakab mulai Jan 1971 hingga Feb 1973, Sandakan, Sabah mulai Mac 1973 hingga Feb Okt 1979, Kem Bt 5, Mentakab mulai Feb 1974 hingga Nov 1979, Kem Lok Kawi, Sabah mulai Dis 1983, Kem Garison, Port Dickson mulai Jan 1984 hingga Dis 1985 dan Kem Sungai Besi, K. Lumpur mulai Jan 1986 hingga sekarang.


SUMBANGAN - PERANG DUNIA KEDUA

Pasukan telah terlibat di dalam Peperangan Dunia Kedua apabila meletusnya perang di kawasan Asia Pasifik, di mana Jepun mula meluaskan jajahan takluknya merangkumi kawasan Borneo bagi jangkamasa 1941-1942. Semasa Jepun mendarat di Singgora (selatan Thailand) dan Kota Bharu, Kelantan pada 7 dan 8 Dis 1941, pasukan telah ditempatkan di kawasan Pasir Panjang, Singapura sebagai kawasan pertahanan terakhir sebelum British menyerah kalah kepada tentera Jepun pada 15 Feb 1942. Kewibawaan dan semangat anggota batalion bertahan sehingga ke tistisan darah yang terakhir ketika itu adalah semasa di bawah pemerintahan Lt Col J.R.C Andre. Di dalam pertempuran tersebut seramai 159 anggota telah terbunuh dan 300 anggota tercedera termasuk 13 orang pegawai. Mereka yang terbunuh terdiri daripada 6 pegawai British, 7 pegawai Melayu dan 146 lain-lain pangkat. Wira yang menjadi kebanggaan seluruh anggota Askar Melayu hingga ke hari ini ialah allahyarham Lt Adnan Bin Saidi.

OPERASI

Kawasan Gerik, Perak
Operasi tersebut bermula pada 1947 hingga 1950 yang diketuai Oleh Lt Col G.R Garreet dan Lt Col G. T Denaro telah berjaya membunuh seramai 38 orang PGK dan menawan 12 PGK. Seorang anggota pasukan telah terkorban ialah Pbt Sulong bin Abdullah pada 9 Ogos 1949.

Operasi Kawasan Mentakab, Pahang
Operasi tersebut bermula pada Jan 50 hingga Feb 1952 yang diketuai oleh Lt Col S. Whitting telah berjaya menbunuh 15 orang PGK dan menawan 13 orang PGK manakala anggota pasukan yang terkorban seramai 4 orang.

Operasi Kawasan Negeri Sembilan
Operasi tersebut bermula Jan 1951 hingga Feb 1951 yang diketuai oleh Lt Col S. Whitting telah berjaya membunuh seramai 28 orang dan menawan 15 PGK manakala anggota pasukan yang telah terkorban seramai 12 orang.

Operasi Kawasan Pahang
Operasi tersebut bermula Dis 1951 hingga Feb 1952 juga diketuai oleh Lt Col S. Whitting di mana pasukan telah berjaya membunuh 6 dan menawan seoarang PGK. Tiada berlaku kehilangan jiwa di pihak pasukan.

Operasi Kawasan Kluang, Johor
Operasi tersebut bermula Mac 1952 hingga Mac 1953 yang diketuai oleh Lt Col S. J. Linden Kelly di mana pasukan telah berjaya membunuh 10 PGK manakala 2 orang anggota pasukan telah terkorban.

Operasi Kawasan Batu Gajah, Perak
Operasi tersebut bermula pada Apr 1953 sehingga Mac 1953 yang diketuai oleh Lt Col S.J Linden Kelly dan Lt Col D.G Jebb di mana pasukan telah berjaya membunuh 12 PGK dan menawan 2 PGK manakala anggota pasukan yang terkorban seramai 4 orang

Operasi Kawasan Kepala Batas, Kedah
Operasi bermula Mei 1955 sehingga Dis 1960 yang diketuai oleh Lt Kol D.G Jebb dan Lt Col C. A. Morris di mana pasukan telah berjaya membunuh 14 PGK dan menawan 6 PGK manakala seorang anggota pasukan terkorban.


KONFRONTASI

Pasukan juga terlibat menentang tentera Indonesia semasa konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Tawau dan Sandakan, sabah pada Jan 1965 sehingga Okt 1965. Penglibatan pasukan semasa konfrantasi diteruskan di kawasan Sembawang, Singapura mulai Dis 1965 sehingga Apr 1966. Kedua-dua operasi tersebut diketuai oleh Lt Kol Jamil bin Ahmad.


PEPERANGAN MELAWAN INSURGENSI
Era insurgensi telah meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis kepada anggota-anggota perintis pasukan ini yang telah terlibat dalam dan insiden-insiden semasa peperangan tersebut.

Operasi Jalan Raja, Lada Pedas Dan Pukat
Operasi ini dijalankan di kawasan Nonok, Bukit Lan dan Entabai, Sarawak mulai Jan 1970 hingga Sep 1970 yang diketuai oleh Lt Kol Abdul Hamid bin Ibrahim di mana pasukan telah berjaya membunuh seramai 23 anggota Pasukan Gerila Rakyat Sarawak dan 11 orang berjaya ditahan.

Operasi Indra IV
Operasi ini dijalankan di kawasan Karak, Pahang pada 30 Nov 1974 sehingga 20 Dis 1974 yang diketuai oleh Lt Kol Syed Alwee Al Airos. Pasukan telah berjaya membunuh seorang pengganas bernama CT Ah Tok dan 2 orang anggota pasukan telah dianugerahkan pingat PGB iaitu Lt M Abdul Jalil Makmur serta LKpl Osman bin Ismail.

Operasi Indra V
Operasi ini dijalankan di kawasan Raub, Pahang pada Ogos 1977 sehingga Nov 1977 yang diketuai oleh Lt Kol Abdul Malik bin Hj Ismail. Didalam operasi ini pasukan telah berjaya membunuh seramai 5 PGK dan tiada kecederaan yang dialami oleh pasukan.

PENERIMA PINGAT KEBERANIAN

Semenjak penubuhannya, batalion ini telah banyak terlibat dengan pelbagai peristiwa bersejarah yang berlaku di dalam negara ini. Batalion ini juga telah melahirkan perwira-perwira yang gagah berani dan telah dikurniakan dengan darjah kebesaran.

Semasa Era Peperangan Dunia Kedua

Seramai tiga anggota pasukan yang terlibat dalam peperangan dunia kedua telah dianugerahkan Mention In Despatch iaitu Lt Adnan bin Saidi dan Lt Abas bin Mat Sham. Manakala Pbt Yaacob bin Bidin telah dianugerahkan Military Medal

Operasi Menentang Pengganas Komunis

Seramai tiga anggota pasukan yang terlibat dalam operasi menentang pengganas komunis telah dikurniakan Pingat Gagah Berani (PGB), mereka ialah Lt M Abdul Jalil bin Makmur, LKpl Osman bin Ismail dan Lt Mohamad Hanafiah bin Ali

PENUTUP

Semenjak 1986, batalion ini telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan penugasan istiadat. Sebagai sebuah Batalion Infantri Istiadat, organisasi pasukan ini adalah berbeza dengan Batalion Infantri Standard (BIS) dan batalion infantri yang lain. Pasukan mempunyai empat kompeni repal dan satu kompeni markas. Selain dari itu, pasukan telah dipertanggungjawab oleh Jabatanarah Infantri sebagai pusat cemerlang hoki, skuasy dan tenis.


Darurat

Setelah tamat Perang Dunia Kedua, keselamatan negara tergugat sekali lagi. Ancaman kali ini datangnya dari Parti Komunis Malaya (PKM) yang tidak berpuas hati dengan kembalinya pemerintahan British. MPAJA terutamanya PKM telah enggan menyerah diri malahan menghasut rakyat menentang British. Bagi mengawal keadaan, kerajaan telah mengisytiharkan Darurat pada 8 Jun 1948.




Menjelang tahun 1952 komponen Tentera Persekutuan mula diperbesarkan. Sehingga tahun 1956, Rejimen Askar Melayu telah bertambah kepada 7 Batalion. Bagi menangani masalah komunis ini juga, Lt Gen Harold Briggs telah menyusun semula penempatan penduduk menjadi lebih teratur dan terkawal di bawah Rancangan Briggs.



Akhirnya PKM telah menawar diri untuk berunding. Tunku Abdul Rahman telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PKM pada waktu itu iaitu Chin Peng pada 28 Disember 1955 di Baling, Kedah. Bagaimanapun, Rundingan Baling telah menemui jalan buntu. Komunis meneruskan keganasan dan kerajaan meneruskan operasi ketenteraan. Aktiviti PKM dapat dibendung dan darurat ditamatkan pada tahun 1960.

Konfrontasi



Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi berhadapan satu ancaman besar dalam mempertahankan kedaulatan negara apabila Indonesia di bawah pimpinan Presiden Sukarno melancarkan Konfrontasi terhadap Malaysia dalam tahun 1963 sebagai bantahan pembentukan Malaysia pada 16 Septembar 1963 yang menggabungkan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia. Peristiwa ini berlarutan selama 3 tahun dan pelbagai kejadian dan pertempuran telah berlaku dalam tempoh berkenaan.

Satu peristiwa yang sukar dilupakan berlaku pada tanggal 29 Disember 1963. Peristiwa Kalabakan ini telah memperlihatkan terkorbannya 7 orang anggota Kompeni C, Batalion Ketiga RAMD. Mereka ditempatkan di Pos Sementara Tentera di Kalabakan, Tawau, Sabah dengan kekuatan satu platun di bawah perintah Mej Zainal Abidin bin Haji Yaacob. Platun ini telah diserang sewaktu mereka menunaikan solat Maghrib di surau. Walaupun dalam keadaan tidak bersedia sepenuhnya, mereka masih mampu memaksa musuh berundur. Serangan itu telah mengorbankan tujuh anggota platun termasuk Mej Zainal Abidin dan mencederakan enam belas yang lain.

Di semenanjung pula banyak peristiwa berlaku di kawasan Batu Pahat, Pontian, Kota Tinggi dan Labis, Johor. Angkatan musuh telah menyusup masuk melalui laut dan udara dengan payung terjun di Labis pada 1 September 1964. Semua penyusupan ini dapat dipatahkan oleh RAMD. Pihak musuh juga tidak mendapat sokongan atau bantuan dari rakyat tempatan. Setelah menyedari hakikat ini dan berikutan desakan politik, Presiden Sukarno menamatkan Konfrontasi terhadap Malaysia pada 1 Jun 1966

Insurgensi



Menyedari perjuangan mereka tidak mendapat sokongan dari rakyat dan menerima tekanan dari Pasukan Keselamatan (PK), dalam tahun 1960 PKM telah berundur di kawasan hutan Selatan Thailand dengan tujuan untuk penyusunan semula. PKM telah mengubah strategi dengan mengurangkan segala aktiviti keganasan dan sebaliknya mempergiatkan aktiviti propoganda dan subversif.

Pada akhir tahun 1968 PKM dengan penuh keyakinan di atas persiapannya telah bangkit semula untuk memberontak. Peristiwa 13 Mei 1969 telah memberi ruang kepada PKM menyusup masuk ke dalam masyarakat dan juga kawasan-kawasan operasi mereka semasa zaman darurat. Kali ini PKM telah mempergiatkan aktiviti militannya serta propoganda di kawasan-kawasan penempatan terpencil.

Berakhirnya Perang Dingin antara blok Barat dan blok Timur di akhir tahun 80 an telah mempengaruhi senario perjuangan PKM di Malaysia yang melihatkan satu Perjanjian Damai bagi perletakan senjata PKM di Haadyai pada 2 Disember 1989. Di dalam tempoh ini juga, Rejimen Askar Melayu dikurniakan Panji-Panji DiRaja pada 1 Mac 1958. Ini juga memperlihatkan perubahan demi perubahan telah berlaku dalam pentadbiran dan pemerkasaan Rejimen Tertua TD ini.






Perang Dunia Kedua




Kempen Di Malaya







Perang Dunia kedua yang diletuskan oleh Jepun turut sama melibatkan Semenanjung Tanah Melayu yang ketika itu dikuasai oleh pihak British. Kempen ini yang bertujuan untuk mendapatkan bahan mentah iaitu getah dan juga bijih timah dari Tanah Melayu dan Singapura. Melalui peluasan ini, Jepun dapat membangunkan keupayaan tentera dengan lebih meluas ke Eropah dan menggunakan Singapura sebagai pelabuhan dan menguasai juga nadi penting pihak Inggeris di Timur Tengah. Kekuatan sebenar orang Melayu tidak dapat dinyatakan dengan sebenar jumlah mereka yang terlibat dalam Kempen di Malaya tetapi dikatakan penglibatan anggota tentera yang terdiri daripada bangsa Melayu yang terlibat dalam kempen di Malaya seramai 16800 orang.

Penglibatan orang Melayu yang terlibat dalam Kempen di Malaya terdiri daripada Rejimen Askar Melayu, pasukan sukarela ‘Pasukan Volunteer Force’ atau FMSVF dan juga ‘Straits Settlement Volunteer’ SSVF yang di Singapura, Melaka dan juga Pulau Pinang. Kekuatan Askar Melayu menjelang akhir Jun 1938 dianggotai seramai 763 orang. Apabila pengisytiharan perang di Eropah pada 3 Sep 1939, pemerintah Inggeris di Tanah Melayu mengesyorkan satu kompeni tambahan Askar Melayu ditubuhkan khusus bagi menghadapi peperangan. Pada bulan Feb 1940 pelatih-pelatih tambahan yang di kenali sebagai ‘W’ Kompeni telah ditubuhkan dan pengambilan-pengambilan telah dibuat.

Untuk memperkuatkan kedudukan tentera di Tanah Melayu, Platun Depot di Port Dickson diperbesarkan lagi menjadi Depot Askar Melayu pada bulan Feb 1941. Rejimen Askar Melayu telah dihantar ke Singapura untuk menjalani latihan mulai bulan April 1940. Desakan dari tokoh-tokoh Melayu dalam Mesyuarat Persekutuan menyuarakan agar kekuatan Askar Melayu ditambah menjadi dua batalion. Akhirnya, pada 1 Dis 1941 Batalion Kedua Askar Melayu dibentuk seminggu sebelum Jepun mendarat di Kota Bharu. Sehingga 10 Jan 1942, dikatakan seramai 1857 rekrut telah pun menjalani latihan di Depot Askar Melayu. Kedudukan dua batalion ini menunjukan bahawa pembentukan Batalion Kedua dibuat dalam keadaan yang tergesa-gesa berbanding dengan Batalion Pertama. Banyak kekurangan yang terdapat dalam batalion ini yang dikatakan tidak mempunyai platun mortar, platun ‘Carriers’ dan juga platun ‘Anti –Aircraft’.

Ketika menentang Tentera Jepun, Rejimen Askar Melayu dipimpin oleh pegawai Tentera British. Pegawai Melayu hanya menjadi pemimpin di peringkat platun sahaja dan berada di kedudukan pertahanan secara bersendirian. Oleh sebab itu banyak maklumat dan keputusan yang diambil tidak diketahui oleh kebanyakan anggota. Batalion Pertama semasa menentang Tentera Jepun telah ditempatkan di sektor R Pulau Singapura. Batalion ini ditugaskan menduduki penempatan pertahanan di tepi pantai sepanjang jalan Pasir Panjang di sebelah barat daya Pulau Singapura. Pasukan ini telah diserang oleh Tentera Jepun dari arah barat laut. Pasukan ini hanya berupaya menggerakkan senjata pertahanan pantai bagi menghadapi seranagan tersebut. Bagi Batalion Kedua pula, penempatan mereka semasa Kempen di Malaya berada di merata tempat. Banyak kekurangan yang ada dari segi peralatan dan juga keanggotaan pasukan ini.
Pasukan ini tidak pernah melebihi dari satu rangka yang hanya mengandungi Markas Batalion dan Kompeni Markas dengan tiga kompeni repal yang mana satu kompeni hanya mempunyai satu platun sahaja. Markas Batalion bertempat di Kem Normanton, Singapura. Kompeni A asalnya Kompeni W Batalion Pertama berada di Dabong Kelantan, Kompeni B asalnya Kompeni X Batalion Pertama berada di Pasir Labar Singapura, Kompeni C yang hanya mempunyai satu platun berada di Markas Far East Sime Road manakala Kompeni D dihantar ke Sungai Bakap, Seberang Perai dan diundurkan balik ke Singapura. Batalion Kedua berpengkalan di Changi, Singapura. Beberapa hari terakhir Kempen Malaya, mereka berada dalam kedudukan di Mount Faber.




Sejarah Penubuhan



Usaha untuk menubuhkan satu pasukan pertahanan yang dianggotai oleh anak-anak Melayu bermula sejak tahun 1902. Banyak perbincangan oleh Raja-Raja Melayu dan Penasihat-Penasihat British telah dijalankan bagi merealisasikan impian ini. Dalam tahun 1913, Almarhum Sultan Alang Iskandar Syah, Almarhum DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah, Almarhum Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan dan Allahyarham Undang Rembau, Datuk Abdullah bin Haji Dahan telah mula menyuarakan hasrat penubuhan pasukan Askar Melayu.


Hasrat Raja-Raja ini telah menjadi kenyataan apabila di dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada 23 Januari 1933, Rang Undang-Undang Askar Melayu telah diluluskan dan dikenali sebagai Undang-Undang No 11. Pada 1 Mac 1933, seramai 25 orang anak watan Melayu pertama telah melaporkan diri di Haig Lines, Port Dickson untuk menjadi aset pertahanan terawal dalam sejarah negara.


Lambang Harimau Berjuang dan Mahkota Bersendi Lima beserta Keris Bersilang adalah merupakan hasil karya Pegawai Memerintah yang Pertama Rejimen ini iaitu Lt Kol G. Mc. S Bruce. ’Harimau Berjuang’ melambangkan Kepahlawanan yang Gagah Berani laksana harimau dan sedia berkawal di setiap pelosok Negara. ’Mahkota Bersendi Lima dan Keris Bersilang’ melambangkan Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Agama Islam yang menjadi tonggak fahaman mereka dan warganya sentiasa memegang Rukun Islam yang lima.


Warna-warna Teras RAMD pula terdiri daripada warna-warna hijau, kuning dan merah. Warna Hijau melambangkan Islam iaitu semua warganya terdiri daripada orang-orang Melayu yang beragama Islam. Warna Kuning melambangkan kesetiaan kepada Raja-Raja Melayu. Manakala warna Merah melambangkan keberanian warga RAMD dan pendukung kepada Tentera Darat.
Cogankata Rejimen Askar Melayu DiRaja pula ialah 'TAAT SETIA' yang melambangkan ketaatan dan kesetiaan warga RAMD dalam memperjuangkan tekad bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta ini.