Perang Dunia Kedua




Kempen Di Malaya







Perang Dunia kedua yang diletuskan oleh Jepun turut sama melibatkan Semenanjung Tanah Melayu yang ketika itu dikuasai oleh pihak British. Kempen ini yang bertujuan untuk mendapatkan bahan mentah iaitu getah dan juga bijih timah dari Tanah Melayu dan Singapura. Melalui peluasan ini, Jepun dapat membangunkan keupayaan tentera dengan lebih meluas ke Eropah dan menggunakan Singapura sebagai pelabuhan dan menguasai juga nadi penting pihak Inggeris di Timur Tengah. Kekuatan sebenar orang Melayu tidak dapat dinyatakan dengan sebenar jumlah mereka yang terlibat dalam Kempen di Malaya tetapi dikatakan penglibatan anggota tentera yang terdiri daripada bangsa Melayu yang terlibat dalam kempen di Malaya seramai 16800 orang.

Penglibatan orang Melayu yang terlibat dalam Kempen di Malaya terdiri daripada Rejimen Askar Melayu, pasukan sukarela ‘Pasukan Volunteer Force’ atau FMSVF dan juga ‘Straits Settlement Volunteer’ SSVF yang di Singapura, Melaka dan juga Pulau Pinang. Kekuatan Askar Melayu menjelang akhir Jun 1938 dianggotai seramai 763 orang. Apabila pengisytiharan perang di Eropah pada 3 Sep 1939, pemerintah Inggeris di Tanah Melayu mengesyorkan satu kompeni tambahan Askar Melayu ditubuhkan khusus bagi menghadapi peperangan. Pada bulan Feb 1940 pelatih-pelatih tambahan yang di kenali sebagai ‘W’ Kompeni telah ditubuhkan dan pengambilan-pengambilan telah dibuat.

Untuk memperkuatkan kedudukan tentera di Tanah Melayu, Platun Depot di Port Dickson diperbesarkan lagi menjadi Depot Askar Melayu pada bulan Feb 1941. Rejimen Askar Melayu telah dihantar ke Singapura untuk menjalani latihan mulai bulan April 1940. Desakan dari tokoh-tokoh Melayu dalam Mesyuarat Persekutuan menyuarakan agar kekuatan Askar Melayu ditambah menjadi dua batalion. Akhirnya, pada 1 Dis 1941 Batalion Kedua Askar Melayu dibentuk seminggu sebelum Jepun mendarat di Kota Bharu. Sehingga 10 Jan 1942, dikatakan seramai 1857 rekrut telah pun menjalani latihan di Depot Askar Melayu. Kedudukan dua batalion ini menunjukan bahawa pembentukan Batalion Kedua dibuat dalam keadaan yang tergesa-gesa berbanding dengan Batalion Pertama. Banyak kekurangan yang terdapat dalam batalion ini yang dikatakan tidak mempunyai platun mortar, platun ‘Carriers’ dan juga platun ‘Anti –Aircraft’.

Ketika menentang Tentera Jepun, Rejimen Askar Melayu dipimpin oleh pegawai Tentera British. Pegawai Melayu hanya menjadi pemimpin di peringkat platun sahaja dan berada di kedudukan pertahanan secara bersendirian. Oleh sebab itu banyak maklumat dan keputusan yang diambil tidak diketahui oleh kebanyakan anggota. Batalion Pertama semasa menentang Tentera Jepun telah ditempatkan di sektor R Pulau Singapura. Batalion ini ditugaskan menduduki penempatan pertahanan di tepi pantai sepanjang jalan Pasir Panjang di sebelah barat daya Pulau Singapura. Pasukan ini telah diserang oleh Tentera Jepun dari arah barat laut. Pasukan ini hanya berupaya menggerakkan senjata pertahanan pantai bagi menghadapi seranagan tersebut. Bagi Batalion Kedua pula, penempatan mereka semasa Kempen di Malaya berada di merata tempat. Banyak kekurangan yang ada dari segi peralatan dan juga keanggotaan pasukan ini.
Pasukan ini tidak pernah melebihi dari satu rangka yang hanya mengandungi Markas Batalion dan Kompeni Markas dengan tiga kompeni repal yang mana satu kompeni hanya mempunyai satu platun sahaja. Markas Batalion bertempat di Kem Normanton, Singapura. Kompeni A asalnya Kompeni W Batalion Pertama berada di Dabong Kelantan, Kompeni B asalnya Kompeni X Batalion Pertama berada di Pasir Labar Singapura, Kompeni C yang hanya mempunyai satu platun berada di Markas Far East Sime Road manakala Kompeni D dihantar ke Sungai Bakap, Seberang Perai dan diundurkan balik ke Singapura. Batalion Kedua berpengkalan di Changi, Singapura. Beberapa hari terakhir Kempen Malaya, mereka berada dalam kedudukan di Mount Faber.




No comments: