1 RAMD






Kompeni Percubaan Terdiri Daripada 25 Anak Melayu




Penubuhan Kompeni Percubaan pada 1 Mac 1933 yang terdiri daripada 25 pemuda-pemuda Melayu adalah merupakan perintis kepada penubuhan batalion ini. Secara rasminya Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja telah ditubuhkan pada 1 Jan 1938 di Port Dickson. Sehingga kini seramai 40 orang Pegawai Memerintah telah memerintah batalion ini dan Pegawai Memerintah yang pertama ialah Lt Col G Mc Bruce. Pegawai Memerintah Melayu pertama yang juga Pegawai Memerintah ke-13 ialah Lt Kol Tengku Ahmad Ibni Al Marhum Tunku Besar Burhanuddin (1960-61) manakala Sarjan Mejar Rejimen Melayu pertama ialah PW 1 Ahmad (1953-54).


COGAN KATA

Sebagai sebuah batalion yang tertua dalam Angkatan Tentera Malaysia, batalion ini telah menjadikan tema digeruni dan disegani sebagai cogan kata pasukan. Digeruni oleh lawan dan disegani oleh rakan dan taulan. Perkataan ini melambangkan kecekalan dan semangat juang yang tinggi di kalangan anggotanya. Ia juga mencerminkan kesediaan dan kesanggupan setiap anggota pasukan untuk berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan kedaulatan negara.




WARNA PASUKAN




Warna merah menjadi warna rasmi pasukan. Warna ini melambangkan asas kepada penubuhan Tentera Darat. Ia juga melambangkan keberanian anak-anak Melayu dalam mempertahankan ketaatsetiaan kepada raja dan negara, menegakkan kesucian agama Islam dan mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman musuh.


PANJI-PANJI


Pasukan telah dianugerahkan panji-panji Rejimen Pertama pada 12 Feb 1939 oleh Sir Henry Gurney di Taiping, Perak. Pertukaran panji-panji rejimen yang kedua telah disempurnakan oleh KDYMM Sultan Kedah pada 24 Mac 1984 di Port Dickson manakala pertukaran panji-panji ketiga telah dilaksanakan pada 24 Mei 1995 di Sungai Besi dan pertukaran panji-panji rejimen yang keempat telah dilaksanakan pada 16 Apr 2002 di Kem Sungai Besi.

BARISAN PEMIMPIN

Mulai daripada tarikh penubuhannya sehingga ke hari ini, pasukan ini telah diperintah oleh seramai 40 orang Pegawai Memerintah. Diantaranya ialah Lt Kol Gmc Bruce Mc sebagai Pegawai Memerintah, Lt Kol Abd Jalil bin Hasbullah, Lt Kol Megat Mohd Yusof bin Dato' Haji Megat Mahmud, Lt Kol Allatif bin Mohamed Noor dan Lt Kol Razali bin Hj Ahmad. Kini batalion ini diterajui oleh Lt Kol Ungku Azly bin Ungku Zahar (3004806).



Pegawai Memerintah 1 RAMD (1933-2008)


RAGAAN BATALION


Deers And Two Palm Trees


Ragaan utama 1 RAMD adalah Deers and Two Palm Trees . Ini adalah simbolik dua ekor rusa jantan yang beradu tenaga. Mengambil keadaan tersebut, pasukan ini mentafsirkan bahawa ia melambangkan anggota yang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang. Rusa merupakan sejenis spesis yang besar dalam kumpulan fauna yang menjadi penghuni setia di dalam hutan. Pokok paku pakis gajah pula merupakan flora yang tumbuh di pinggir paya. Walaupun keadaan persekitaran yang kurang selesa, namun ia tetap tumbuh segar dan melindungi setiap fauna dan flora yang berada di bawahnya. Ia melambangkan setiap anggota pasukan ini sanggup berada di mana sahaja bagi melindungi dan mempertahankan rakyat Malaysia dalam apa jua keadaaan.


PENEMPATAN PASUKAN

Dalam usianya selama 69 tahun, pasukan ini telah ditempatkan dibeberapa lokasi atau penempatan sehinggalah pasukan dipindahkan ke Kem Sungai Besi sejak Jan 1986. Kem–kem yang pernah diduduki oleh pasukan ialah Port Dickson, N. Sembilan mulai penubuhan 1 Jan 1938 hingga Dis 1941, Pasir Panjang, Singapura mulai Dis 1941 hingga Feb 1942, Sungai Besi, K. Lumpur mulai Jun 1946 hingga Jul 1947, Taiping, Perak mulai Ogos 1947 hingga Jan 1950, Mentakab, Pahang mulai Jan 1950 hingga Feb 1952, Muar, Johor mulai Mac 1952 hingga Mac 1953, Batu Gajah, Perak mulai Apr 1953 Apr hingga 1955, Kem Kepala Batas mulai Mei 1955 hingga Dis 1960, Kem Sungai Besi, K.Lumpur mulai Jan 1961 hingga Dis 1963, Taiping, Perak mulai Jan 1964 hingga Dis 1966 Sandakan dan Tawau, Sabah mulai Jan 1965 hingga Okt 1965, Kem Sembawang, Singapura mulai Dis 1965 hingga Apr 1966, Kem Semenggo, Kuching mulai Jan 1967 hingga Dis 1968 Kem Bt 5, Mentakab mulai Jan 1969 hingga Okt 1969 Kem Balai Ringin, Sarawak mulai Jan 1970 hingga Dis 1970 Kem Bt 5, Mentakab mulai Jan 1971 hingga Feb 1973, Sandakan, Sabah mulai Mac 1973 hingga Feb Okt 1979, Kem Bt 5, Mentakab mulai Feb 1974 hingga Nov 1979, Kem Lok Kawi, Sabah mulai Dis 1983, Kem Garison, Port Dickson mulai Jan 1984 hingga Dis 1985 dan Kem Sungai Besi, K. Lumpur mulai Jan 1986 hingga sekarang.


SUMBANGAN - PERANG DUNIA KEDUA

Pasukan telah terlibat di dalam Peperangan Dunia Kedua apabila meletusnya perang di kawasan Asia Pasifik, di mana Jepun mula meluaskan jajahan takluknya merangkumi kawasan Borneo bagi jangkamasa 1941-1942. Semasa Jepun mendarat di Singgora (selatan Thailand) dan Kota Bharu, Kelantan pada 7 dan 8 Dis 1941, pasukan telah ditempatkan di kawasan Pasir Panjang, Singapura sebagai kawasan pertahanan terakhir sebelum British menyerah kalah kepada tentera Jepun pada 15 Feb 1942. Kewibawaan dan semangat anggota batalion bertahan sehingga ke tistisan darah yang terakhir ketika itu adalah semasa di bawah pemerintahan Lt Col J.R.C Andre. Di dalam pertempuran tersebut seramai 159 anggota telah terbunuh dan 300 anggota tercedera termasuk 13 orang pegawai. Mereka yang terbunuh terdiri daripada 6 pegawai British, 7 pegawai Melayu dan 146 lain-lain pangkat. Wira yang menjadi kebanggaan seluruh anggota Askar Melayu hingga ke hari ini ialah allahyarham Lt Adnan Bin Saidi.

OPERASI

Kawasan Gerik, Perak
Operasi tersebut bermula pada 1947 hingga 1950 yang diketuai Oleh Lt Col G.R Garreet dan Lt Col G. T Denaro telah berjaya membunuh seramai 38 orang PGK dan menawan 12 PGK. Seorang anggota pasukan telah terkorban ialah Pbt Sulong bin Abdullah pada 9 Ogos 1949.

Operasi Kawasan Mentakab, Pahang
Operasi tersebut bermula pada Jan 50 hingga Feb 1952 yang diketuai oleh Lt Col S. Whitting telah berjaya menbunuh 15 orang PGK dan menawan 13 orang PGK manakala anggota pasukan yang terkorban seramai 4 orang.

Operasi Kawasan Negeri Sembilan
Operasi tersebut bermula Jan 1951 hingga Feb 1951 yang diketuai oleh Lt Col S. Whitting telah berjaya membunuh seramai 28 orang dan menawan 15 PGK manakala anggota pasukan yang telah terkorban seramai 12 orang.

Operasi Kawasan Pahang
Operasi tersebut bermula Dis 1951 hingga Feb 1952 juga diketuai oleh Lt Col S. Whitting di mana pasukan telah berjaya membunuh 6 dan menawan seoarang PGK. Tiada berlaku kehilangan jiwa di pihak pasukan.

Operasi Kawasan Kluang, Johor
Operasi tersebut bermula Mac 1952 hingga Mac 1953 yang diketuai oleh Lt Col S. J. Linden Kelly di mana pasukan telah berjaya membunuh 10 PGK manakala 2 orang anggota pasukan telah terkorban.

Operasi Kawasan Batu Gajah, Perak
Operasi tersebut bermula pada Apr 1953 sehingga Mac 1953 yang diketuai oleh Lt Col S.J Linden Kelly dan Lt Col D.G Jebb di mana pasukan telah berjaya membunuh 12 PGK dan menawan 2 PGK manakala anggota pasukan yang terkorban seramai 4 orang

Operasi Kawasan Kepala Batas, Kedah
Operasi bermula Mei 1955 sehingga Dis 1960 yang diketuai oleh Lt Kol D.G Jebb dan Lt Col C. A. Morris di mana pasukan telah berjaya membunuh 14 PGK dan menawan 6 PGK manakala seorang anggota pasukan terkorban.


KONFRONTASI

Pasukan juga terlibat menentang tentera Indonesia semasa konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Tawau dan Sandakan, sabah pada Jan 1965 sehingga Okt 1965. Penglibatan pasukan semasa konfrantasi diteruskan di kawasan Sembawang, Singapura mulai Dis 1965 sehingga Apr 1966. Kedua-dua operasi tersebut diketuai oleh Lt Kol Jamil bin Ahmad.


PEPERANGAN MELAWAN INSURGENSI
Era insurgensi telah meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis kepada anggota-anggota perintis pasukan ini yang telah terlibat dalam dan insiden-insiden semasa peperangan tersebut.

Operasi Jalan Raja, Lada Pedas Dan Pukat
Operasi ini dijalankan di kawasan Nonok, Bukit Lan dan Entabai, Sarawak mulai Jan 1970 hingga Sep 1970 yang diketuai oleh Lt Kol Abdul Hamid bin Ibrahim di mana pasukan telah berjaya membunuh seramai 23 anggota Pasukan Gerila Rakyat Sarawak dan 11 orang berjaya ditahan.

Operasi Indra IV
Operasi ini dijalankan di kawasan Karak, Pahang pada 30 Nov 1974 sehingga 20 Dis 1974 yang diketuai oleh Lt Kol Syed Alwee Al Airos. Pasukan telah berjaya membunuh seorang pengganas bernama CT Ah Tok dan 2 orang anggota pasukan telah dianugerahkan pingat PGB iaitu Lt M Abdul Jalil Makmur serta LKpl Osman bin Ismail.

Operasi Indra V
Operasi ini dijalankan di kawasan Raub, Pahang pada Ogos 1977 sehingga Nov 1977 yang diketuai oleh Lt Kol Abdul Malik bin Hj Ismail. Didalam operasi ini pasukan telah berjaya membunuh seramai 5 PGK dan tiada kecederaan yang dialami oleh pasukan.

PENERIMA PINGAT KEBERANIAN

Semenjak penubuhannya, batalion ini telah banyak terlibat dengan pelbagai peristiwa bersejarah yang berlaku di dalam negara ini. Batalion ini juga telah melahirkan perwira-perwira yang gagah berani dan telah dikurniakan dengan darjah kebesaran.

Semasa Era Peperangan Dunia Kedua

Seramai tiga anggota pasukan yang terlibat dalam peperangan dunia kedua telah dianugerahkan Mention In Despatch iaitu Lt Adnan bin Saidi dan Lt Abas bin Mat Sham. Manakala Pbt Yaacob bin Bidin telah dianugerahkan Military Medal

Operasi Menentang Pengganas Komunis

Seramai tiga anggota pasukan yang terlibat dalam operasi menentang pengganas komunis telah dikurniakan Pingat Gagah Berani (PGB), mereka ialah Lt M Abdul Jalil bin Makmur, LKpl Osman bin Ismail dan Lt Mohamad Hanafiah bin Ali

PENUTUP

Semenjak 1986, batalion ini telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan penugasan istiadat. Sebagai sebuah Batalion Infantri Istiadat, organisasi pasukan ini adalah berbeza dengan Batalion Infantri Standard (BIS) dan batalion infantri yang lain. Pasukan mempunyai empat kompeni repal dan satu kompeni markas. Selain dari itu, pasukan telah dipertanggungjawab oleh Jabatanarah Infantri sebagai pusat cemerlang hoki, skuasy dan tenis.


No comments: