2 RAMD


SEJARAH PENUBUHAN

Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu DiRaja telah ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Dis 1941 di Port Dickson dengan kekuatan seramai 453 orang di bawah pemerintahan Lt Kol F.W Young. Penubuhan batalion ini dilakukan apabila keadaan perhubungan di antara negara-negara di Eropah semakin bergolak di mana satu ketumbukan tentera dikerahkan di Tanah Melayu iaitu dari 12th Indian Infantry Brigade yang tiba pada bulan Ogos 1939. Kedatangan mereka disambut baik, tetapi kerajaan British di Tanah Melayu mendesak pemimpin mereka untuk mengembangkan lagi Rejimen Askar Melayu Diraja, memandangkan tentera dari golongan anak watan mempunyai semangat juang yang tinggi bagi mempertahankan Tanah Melayu berbanding dengan tentera-tentera Commonwealth.


Desakan yang dibuat tidak diendahkan sehinggalah tercetusnya peperangan di Eropah pada bulan Sep 1939, di mana pada waktu itu Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja baru berusia 4 tahun. Setelah kekuatan Rejimen Askar Melayu Diraja bertambah, program latihan telah dirombak agar ianya bersesuaian dengan objektif penubuhannya. Anggota-anggotanya dihantar untuk menghadiri pelbagai kursus yang dirancang oleh Headquarters Malaya Command. Satu Carrier Platoon telah ditubuhkan pada awal bulan Ogos 1941 di bawah pemerintahan Kapt R.R.C Carter dan memulakan latihannya di bawah 2nd Royal Regiment.


Hasil dari pelaksanaan tugas memuaskan yang telah ditunjukkan oleh Rejimen Askar Melayu Diraja, maka satu kompeni baru telah ditubuhkan iaitu dikenali sebagai ‘W’ Kompeni di bawah pemerintahan Kapt W. Richardson. Kompeni ini telah dihantar ke Kampung Pergau, Kelantan pada Ogos 1941 seterusnya bergelar A Kompeni kepada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja. Daripada pengkalan ini, wujudlah satu kem tentera di Sungai Pergau. Penubuhan Batalion Sungai Pergau telah dijadikan satu tempat untuk mengintip kawasan sempadan Thailand bagi tujuan untuk mengelakkan penyusupan tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu dari Negara Thailand. Pada waktu yang sama, di atas gesaan rakyat Tanah Melayu, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu telah mengumumkan keputusan untuk membesarkan Rejimen Askar Melayu Diraja kepada dua Batalion.


Keputusan ini telah dicapai dimana nukleus dari Batalion Pertama ini telah ditukarkan ke Batalion Kedua. Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja ditubuhkan dibawah kuasa penubuhan daripada Pesuruh Jaya Tinggi British di Malaya iaitu Sir Gerald Templer. Genap seminggu sahaja batalion ini ditubuhkan, Tanah Melayu diserang oleh Tentera Jepun.


LAMBANG DAN COGANKATA


Lencana pengenalan yang menjadi identiti pasukan ini merupakan lambang harimau berjuang yang berlatarbelakangkan kain bewarna hijau yang diambil daripada salah satu warna yang terdapat di dalam salah satu diantara warna bendera Rejimen Askar Melayu DiRaja, dimana warna tersebut merupakan simbolik kepada Islam bersesuaian dengan keanggotaannya yang terdiri daripada penganut beragama Islam. Manakala gelaran dan cogankatanya seperti di bawah.


SENTIASA TUNJUK BELANG



Harimau Malaya

Gelaran ini telah diisytiharkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British Di Tanah Melayu iaitu Sir Gerald Templer. Gelaran ini telah diberikan di atas kejayaan pasukan ini sepanjang darurat yang telah membunuh 185 orang PGK dan menawan 29 orang PGK serta seramai 59 yang lain telah menyerah diri pada tahun 1952.



Sentiasa Tunjuk Belang

Cogankata ini di gunakan hasil daripada kesinambungan di atas kejayaan membenteras PGK serta keberanian yang telah di tunjukkan sepanjang pelaksanaan tugas operasi yang di jalankan.

PANJI-PANJI

Batalion ini telah dianugerahkan Panji-Panji Rejimen yang pertama pada 13 Sep 1949 di Port Dickson yang telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi British Di Tanah Melayu iaitu Sir Gerald Templer bagi pihak Baginda Queen Elizabeth. Panji-Panji kedua pada 13 Nov 1976. Pengurniaan Panji-Panji kedua ini telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah iaitu Sultan Kedah selaku Kolonel Yang DiPertua kor RAMD di Kem Terendak. Panji-Panji ini adalah untuk mendapatkan penghormatan perang (Battle of Honours) terdiri daripada Pulau Singapura, Tanah Melayu 1941 hingga 1942 dan Darurat pada 1948 hingga 1960. Manakala pengurniaan Panji-Panji yang ketiga juga telah di sempurnakan oleh Baginda pada 24 Nov 1998 iaitu di Kem Sungai Ara. Tiga penambahan penghormatan perang yang telah di tambah pada Panji-panji ini ialah Congo 1960 hingga 1963, Konfrontasi 1963 hingga 1965 dan juga Bosnia 1997 hingga 1998.

WARNA PASUKAN

Warna pasukan merupakan warna hijau gelap yang diambil daripada salah satu warna yang terdapat pada bendera Rejimen Askar Melayu DiRaja yang menunjukkan sebagai simbolik kepada agama Islam.

MASKOT PASUKAN

Harimau yang merupakan sebagai pahlawan hutan yang sentiasa menunjukkan keberanian dan kegagahan sebilang masa dan harimau juga sering sahaja dijadikan pengawal oleh pendekar – pendekar Melayu zaman silam.


PEGAWAI MEMERINTAH

Sejak daripada awal penubuhan hinggalah ke hari ini, pasukan ini telah dipimpin oleh 31 orang Pegawai Memerintah yang lebih sinonim dengan gelaran Gembala Harimau Malaya. Kesemua Pegawai Memerintah yang menerajui kepimpinan pasukan ini telah menunjukkan kejayaan yang cemerlang dan sentiasa mengekalkan tradisi serta adat pasukan ini sehingga ke hari ini sebagai salah satu daripada pasukan yang tertua. Diantara barisan kepimpinan yang terawal di pimpin oleh Leftenan Kolonel F.W Young MBE iaitu bermula pada 1 Oktober 1941 sehingga 15 Feb 1942.
Sementara itu diantara kepimpinan yang telah menerajui pasukan ini yang telah berjaya di dalam perkhidmatan dan bersara sebagai tampuk pemerintahan tertinggi Tentera Darat ialah Leftenan Kolonel Tengku Md Osman bin Tengku Md Jewa merupakan Panglima Tentera Darat Ketiga iaitu Pegawai Memerintah yang ketujuh bermula pada 19 Julai 1958 hingga 15 Okt 1959, Leftenan Kolonel Mohd Sany bin Abdul Ghafar sebagai Panglima Tentera Darat yang keenam iaitu Pegawai Memerintah pasukan ini yang kesembilan bermula pada 15 Jan 1961 hingga 17 Jun 1961 dan Leftenan Kolonel Mohd Sharom bin Hj Nordin. Beliau merupakan mantan Pegawai Memerintah pasukan ini yang telah bersara sebagai Panglima Tentera Darat yang ke 19.

Di antara mantan Pegawai Memerintah lain pasukan ini yang telah bersara sebagai Panglima Divisyen ialah Leftenan Kolonel Mohd Raih bin Hj Ismail iaitu mantan Pegawai Memerintah bermula 14 Feb 1989 hingga 5 Jul 1991 yang merupakan mantan Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia. Walau bagaimanapun pada hari ini tampuk pemerintahan Divisyen Ketiga Infantri Malaysia yang dipimpin oleh Mejar Jeneral Dato’ Ahmad Hasbullah bin Mohd Nawi juga merupakan salah seorang daripada mantan Pegawai Memerintah Harimau Malaya pada 26 Feb 1995 hingga 7 Sep 1996. Manakala Gembala Harimau Malaya pada hari ini ialah Leftenan Kolonel Abdul Aziz bin Ismail yang merupakan Pegawai Memerintah pasukan ini yang ke 31 bermula pada 8 Jan 2007 hingga sekarang.



PEGAWAI MEMERINTAH 2 RAMD (1941-2008)


RAGAAN BATALION


DARURAT 1

Ragaan Utama Batalion Kedua RAMD dikenali sebagai ‘Darurat Satu’. Ia merupakan sebuah tugu peringatan yang terdapat sebilah keris perak di atasnya. Tugu tersebut tercatat nama-nama pahlawan batalion ini yang telah gugur dalam pertempuran semasa Darurat Pertama. Setiap penjurunya dikawal oleh seekor replika harimau perak yang merupakan pahlawan hutan yang sentiasa menjadi lambang keberanian dan kegagahan dan keris melambangkan kepahlawanan bangsa Melayu dan kebesaran Raja-Raja Melayu. Ragaan ini telah dicipta oleh pegawai-pegawai dan anggota yang telah berkhidmat di pasukan ini pada tahun 1960 yang bernilai 1785 pound sterling berukuran 60 cm panjang, 47 cm lebar ,21 cm tinggi dan seberat 20 kg. Ragaan ini telah dibiayai oleh pegawai serta anggota pasukan ini pada masa tersebut dan juga Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

PENEMPATAN PASUKAN

Pasukan ini juga pernah di tempatkan di beberapa penempatan di Port Dickson/Singapura (1941–1947), Kuala Lumpur (1948–1950), Kuala Lipis, Pahang (1950–1952), Taiping, Perak (1952–1960), Kelantan (1960–1962), Conggo (1962–1963), Tawau, Sabah (1963–1964), Kelantan (1964–1966), Semanggang, Sarawak (1966 – 967), Port Dickson, Negeri Sembilan (1967–1968), Tawau, Sabah (1968–1971), Terendak, Melaka (1971–1972), Lundu, Sarawak (1972–1974), Terendak, Melaka (1974–1976), Lok Kawi, Sabah (1976–1979), Mentakab, Pahang (1979–1988), Sri Aman, Sarawak (1988–1991) dan sekarang di Sungai Ara, Pulau Pinang semenjak dari tahun 1991

SUMBANGAN

Memandangkan penubuhan pasukan ini adalah di antara penubuhan yang terawal dan menjadi salah satu pasukan yang tertua maka sama ada secara langsung atau tidak langsung keanggotaannya telah banyak memberikan sumbangan yang tidak ternilai dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dari anasir dan petualang negara. Ini dapat dibuktikan bukan sahaja dengan beberapa siri operasi yang telah dilaksanakan di tanah air ini malahan juga beberapa misi yang telah dijayakan di bawah naungan Penubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di antara siri operasi yang telah dilaksanakan seperti di kawasan Kuala Lipis Pahang sekitar tahun 1948–1950 yang telah berjaya membunuh 110 orang PGK dan mencederakan seramai 39 orang yang lain. Manakala pada tahun 1955-1956 sewaktu melaksanakan Operasi Shark iaitu di kawasan Chemor, Perak telah membunuh 2 orang PGK. Di antara operasi dan kejayaan lain adalah seperti Operasi Parchement di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1956-1957 telah membunuh 2 orang PGK dan Sjn Salleh telah dikurniakan Pingat Military Cross (MC), Operasi Chieftain pada tahun Mac hingga Disember 1957 di Perak telah memusnahkan 23 ladang tanaman PGK dan seorang Ahli Jawatankuasa Negeri (SCM) ditawan manakala 99 orang PGK yang lain menyerah diri, Operasi Bintang di Batu Gajah, Perak pada tahun 1958-1960 telah membunuh 33 PGK,

Operasi Bersama TNBI – AD di Lundu, Sarawak pada April hingga Jun 1980 berkekuatan satu kompeni telah berjaya membunuh seorang PGK, Operasi Indera XII (Purple Bravo) di kawasan Klau, Cheroh dan Kuala Lipis pada 16 Jul hingga 16 Sep 1980 telah membunuh seorang PGK, Operasi Indera Khas di Padang Tengku, Kuala Lipis Pahang pada Ogos 1980 dan kawasan Barat Bentong sempadan Negeri Sembilan pada 3 Nov hingga 31 Dis 1980, Operasi Lukah Rajah I di Hutan Simpan Kerau, Kompleks Gunung Benom pada 12-30 Apr 1981 berkekuatan satu kompeni telah menjumpai 8 buah pondok PGK iaitu tempat persembunyian CCM Chong Chor, Operasi Lukah Rajah II pada tahun 1981.

Operasi Indera Berjaya membunuh 3 PGK pada tahun 1981, Operasi Campur di Karak, Bentong dan Kerdau pada tahun 1982, Operasi Indera 3/88 di Bukit Fraser, Sungai Ruan, Klau dan Cheroh, Pahang pada tahun 1983, Operasi Indera Khas di Hutan Simpan Lintang, Pahang pada 23 Ogos hingga 30 Jul 1983 menjumpai kem besar PGK, Operasi Indera 11/83 di Perting dan Chamang, Pahang pada Sep 1983, Operasi Indera 1/84 di bahagian Barat Bentong pada tahun 1984 menjumpai tempat simpanan makanan PGK, di dalam beberapa siri Operasi Indera yang di jalankan ini juga telah berjaya membunuh DCM Wong Chew Nam iaitu ketua unit 15 PKB. Operasi Sabre 3/87 di Karak, Hutan Simpan Lintang, Janda Baik dan Ulu Langat telah menjumpai Kem Elephant yang merupakan Markas 6 Unit Penggempur Keenam di ketuai oleh Chong Chor pada tahun 1987, Operasi Paksi Tuah 2/88 di Kalumpang, Bukit Fraser dan Kuala Kubu pada tahun 1988, beberapa siri Operasi Kota Charlie, Delta dan Operasi Kota Bravo, Charlie Delta, Operasi Pasir Utara 2/2002 di Sandakan dan Kudat, Operasi Merpati, Operasi Cenderawasih, Operasi Kota Echo dan Foxtrot. Pasukan ini juga telah di beri kepercayaan dalam melaksanakan misi di bawah naungan PBB iaitu di Congo pada tahun 1960 hingga 1963 dan juga di Bosnia pada tahun 1997 hingga 1998.


Secara keseluruhannya sehingga ke hari ini, pasukan ini telah melaksanakan lebih daripada 60 kali siri operasi yang di tugaskan dan telah mengorbankan seorang pegawai serta 26 lain-lain pangkat. Dalam keringat dan keberanian serta semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan kedaulatan negara, beberapa penganugerahan pingat keberanian telah diberikan kepada anggota iaitu Kapt Ghazali bin Hj Che Mat (12011), 16633 Sjn Ahmad Rodzi bin Mohd Nor, 470 LKpl M Taib bin Tawal dan 8525 LKpl Hashim bin Jantan anugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB). Manakala Lt Mohd Isa bin Osman (410260), 11092 Sjn Shupaat bin Ramli, 14007 Sjn Abdullah bin Husin, 13785 Sjn Shaik Ismail bin Hj Dollah, 5698 Kpl Jantan bin Kasim, 8440 Kpl Ahmad bin Omar, 11617 Kpl Abdu Hamid bin Mahdan, 27227 Kpl Zamri bin Yusof, 16679 Pbt Hamid bin Saidin pula dikurniakan Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK).

PENUTUP

Perjuangan dan semangat serta keberanian yang telah ditunjukkan oleh para pejuang dan wira yang terdahulu melambangkan betapa cintanya mereka kepada tanahair ini. Pemergian mereka itu bukanlah sebagai satu jalan yang boleh mematahkan semangat terhadap generasi pada hari ini malah ianya merupakan suatu tuntutan yang sepatutnya boleh membangkitkan semangat yang jitu. Walaupun perjuangan masa kini mungkin ada bezanya terhadap persekitaran dalam arus pembangunan, namun selagi berpijak di bumi yang nyata ini maka kedaulatan Negara tercinta ini akan terus di warisi dan dijunjung bukan sahaja pada nama yang terukir indah dan gah serta gerun sebagai Harimau Malaya tetapi akan terus berusaha mengecapi kejayaan seiring dengan cogankatanya Sentiasa Tunjuk Belang.

No comments: