Sejarah Penubuhan



Usaha untuk menubuhkan satu pasukan pertahanan yang dianggotai oleh anak-anak Melayu bermula sejak tahun 1902. Banyak perbincangan oleh Raja-Raja Melayu dan Penasihat-Penasihat British telah dijalankan bagi merealisasikan impian ini. Dalam tahun 1913, Almarhum Sultan Alang Iskandar Syah, Almarhum DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah, Almarhum Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan dan Allahyarham Undang Rembau, Datuk Abdullah bin Haji Dahan telah mula menyuarakan hasrat penubuhan pasukan Askar Melayu.


Hasrat Raja-Raja ini telah menjadi kenyataan apabila di dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada 23 Januari 1933, Rang Undang-Undang Askar Melayu telah diluluskan dan dikenali sebagai Undang-Undang No 11. Pada 1 Mac 1933, seramai 25 orang anak watan Melayu pertama telah melaporkan diri di Haig Lines, Port Dickson untuk menjadi aset pertahanan terawal dalam sejarah negara.


Lambang Harimau Berjuang dan Mahkota Bersendi Lima beserta Keris Bersilang adalah merupakan hasil karya Pegawai Memerintah yang Pertama Rejimen ini iaitu Lt Kol G. Mc. S Bruce. ’Harimau Berjuang’ melambangkan Kepahlawanan yang Gagah Berani laksana harimau dan sedia berkawal di setiap pelosok Negara. ’Mahkota Bersendi Lima dan Keris Bersilang’ melambangkan Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Agama Islam yang menjadi tonggak fahaman mereka dan warganya sentiasa memegang Rukun Islam yang lima.


Warna-warna Teras RAMD pula terdiri daripada warna-warna hijau, kuning dan merah. Warna Hijau melambangkan Islam iaitu semua warganya terdiri daripada orang-orang Melayu yang beragama Islam. Warna Kuning melambangkan kesetiaan kepada Raja-Raja Melayu. Manakala warna Merah melambangkan keberanian warga RAMD dan pendukung kepada Tentera Darat.
Cogankata Rejimen Askar Melayu DiRaja pula ialah 'TAAT SETIA' yang melambangkan ketaatan dan kesetiaan warga RAMD dalam memperjuangkan tekad bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta ini.

No comments: